Saturday 25 July 2015

PROSES PILIHAN RAYA 


Pilihan Raya Umum atau Pilihan Raya Kecil di Malaysia mempunyai beberapa peringkat iaitu:- 
  • Pengeluaran writ
  •  Penamaan calon
  •  Kempen Hari mengundi 
  • Pengiraan undi
  •  Penjumlahan rasmi undi
  •  Pengumuman Keputusan Pengeluaran Writ

Apabila berlaku pembubaran Parlimen atau Dewan Undangan Negeri atau terdapat kekosongan di luar jangka, Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengeluarkan writ iaitu surat kuasa untuk menjalankan pilihan raya kepada Pegawai Pengurus. Pada masa yang sama satu notis pilihan raya akan diwartakan dan ditampal di tempat-tempat yang mudah untuk semakan orang ramai. Notis tersebut mengandungi tarikh penamaan dan tarikh pengundian yang akan dijalankan. PenamaanCalon, Hari penamaan calon merujuk kepada hari yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya bagi calon-calon mengemukakan kertas-kertas penamaan untuk bertanding dalam pilihan raya kepada Pegawai Pengurus. Kertas-kertas penamaan boleh dikemukakan oleh calon, pencadang dan penyokong atau salah seorang daripada mereka. Kertas-kertas penamaan mestilah dikemukakan di antara pukul 9.00 pagi hingga 10.00 pagi pada hari penamaan. Selain dari penyerahan tiga salinan borang penamaan; calon, pencadang atau penyokong juga perlu menyertakan deposit pilihan raya dan Borang Akaun Berkanun iaitu Borang 5 untuk calon bagi ahli Dewan Rakyat dan Borang 5A untuk calon bagi Ahli Dewan Undangan Negeri.

Borang-borang ini perlu dimatikan setem di Pejabat Duti Setem. Kertas-kertas penamaan yang diterima akan di pamerkan dari jam 10.00 pagi hingga 11.00 pagi untuk diteliti dan dibuat bantahan oleh mereka yang layak iaitu calon dan pemilih yang terdaftar di kawasan berkenan. Apabila selesai urusan tersebut Pegawai Pengurus akan mengistiyarkan calon-calon yang layak bertanding. Jika hanya seorang saja calon yang dicadangkan, Pegawai Pengurus akan mengumumkan calon tersebut menang tanpa bertanding. Kempen Suruhanjaya Pilihan Raya telah merangka peraturan-peraturan khas untuk berkempen, seperti yang tertera di dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya (Pindaan) 2002. Kempen hanya boleh dimulakan selepas selesai proses penamaan calon dan mesti dihentikan jam 12.00 tengah malam sebelum hari mengundi. Bagi memastikan pilihan raya berjalan lancar Suruhanjaya mempunyai kuasa di bawah perkara 3(5) Akta Pilihan Raya 1958 dan perkara 27A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 untuk melantik Pegawai Penguat Kuasa dan membentuk satu atau lebih Pasukan- pasukan Penguat Kuasa di setiap bahagian pilihan raya Parlimen, jika difikirkan perlu. Unit ini dianggotai oleh Pegawai Penguat Kuasa yang dilantik oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, seorang wakil dari Ibu Pejabat Polis Daerah, seorang wakil dari Pihak Berkuasa Tempatan dan seorang wakil tiap-tiap parti/calon yang bertanding. Pegawai Penguat Kuasa bertanggungjawab kepada Pegawai Pengurus, dan tugas pasukan ini ialah untuk memantau bahan-bahan kempen, ceramah-ceramah pilihan raya dan perhimpunan umum, bagi memastikan peruntukan-peruntukan di bawah undang-undang dan peraturan- peraturan pilihan raya tidak dilanggar.
Suruhanjaya Pilihan Raya juga akan menubuhkan jawatankuasa-jawatankuasa di peringkat Pusat/Negeri/bahagian-bahagian pilihan raya bagi memberikan penerangan kepada parti-parti politik, calon-calon atau ejen-ejen dan petugas- petugas parti mengenai undang-undang dan peraturan pilihan raya. Senarai perkara yang mesti dipatuhi dan dilarang semasa pilihan raya disediakan, dan ini perlu diambil ingatan oleh calon- calon dan petugas-petugas parti. Lazimnya, kempen pilihan raya adalah berupa:-

• Pengedaran risalah dan surat 
• Poster 
• Ceramah tertutup dan ceramah umum
• Kempen dari rumah ke rumah

Untuk tujuan kempen, calon-calon dikehendaki membayar deposit bahan kempen sebanyak RM5,000 bagi pilihan raya Parlimen dan RM3,000 bagi pilihan raya Dewan Undangan Negeri. Begitu juga pemasangan poster ia perlu membayar sejumlah wang kepada pihak berkuasa tempatan. Bagi membolehkan calon-calon mengadakan ceramah terbuka mereka perlu mendapat kelulusan dari pihak polis.Parti-parti politik dibenarkan membentang dan memperjelaskan manifesto mereka masing-masing. Mereka juga boleh menggunakan media elektronik. Deposit akan dipulangkan sekiranya calon-calon menanggalkan poster, sepanduk dan sebagainya dalam tempoh 14 hari selepas hari mengundi. Sepanjang tempoh berkempen, pihak polis akan dari semasa ke semasa mengeluarkan garis-garis panduan kepada calon-calon yamg bertanding untuk memastikan kempen pilihan raya berjalan secara aman.

Hari Mengundi Hari mengundi adalah merujuk kepada hari pemilih-pemilih membuang undi. Secara rasmi hari mengundi bermula dari selepas 12.00 tengah malam dan berakhir dengan pengumuman keputusan pilihan raya. Namun demikian, waktu membuang undi ditetapkan dari jam 8.00 pagi hingga jam 5.00 petang di seluruh Malaysia. Bagi kawasan-kawasan pedalaman, unit-unit bergerak digunakan bagi memastikan kelancaran membuang undi. Selain dari itu, waktu membuang undi mungkin berbeza antara daerah-daerah. Suruhanjaya Pilihan Raya biasanya akan mengeluarkan notis untuk memaklumkan orang ramai tentang perkara-perkara pilihan raya seperti:- 

• Tarikh mengundi 
• Lokasi tempat mengundi
• Waktu mengundi di semua tempat mengundi
• Lokasi pusat pengiraan dan penjumlahan undi

Pengundian dilakukan di tempat-tempat mengundi yang telah diwartakan. Setiap tempat mengundi mempunyai seorang Ketua Tempat Mengundi yang mengawal selia proses pengundian. Beliau akan dibantu oleh kerani mengundi dan kerani mengira undi. Pengiraan Undi Pengiraan undi dijalankan oleh Ketua Tempat Mengundi di tempat mengundi atau di satu pusat pengiraan undi yang telah ditetapkan. Keputusan pengiraan undi ini akan dimasukkan kedalam Borang 14 (Penyata Pengundian Selepas Pengiraan Undi). Semua Borang 14 ini akan dibawa kepada Pegawai Pengurus untuk dibuat Penjumlahan Rasmi Undi. Pegawai Pengurus setelah menyemak Borang 14 ini dan jika didapati betul beliau akan mengumumkan kepada orang ramai satu persatu dan jika terdapat keraguan beliau akan menyemak semula dengan Borang 13 (Penyata Kertas Undi). Undi pos bagi sesuatu bahagian pilihan raya dikira oleh Pegawai Pengurus di pusat pengiraan undi yang telah ditetapkan dan dimasukkan ke dalam Borang15 (Penyata Pengundian Selepas Pengiraan Kertas Undi Pos).Semasa undi dikira, hanya orang yang tertentu sahaja dibenarkan memasuki tempat mengira undi. Mereka ialah:- 

• Ahli- ahli dan pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya 
• Pegawai yang dilantik oleh Suruhanjaya Pilihan Raya
• Kerani pengiraan undi
• Calon, wakil dan ejen mengira undi 

Kehadiran ejen-ejen calon adalah untuk memastikan pengiraan undi dijalankan mengikut proses yang betul seperti yang ditetapkan oleh undang-undang dan peraturan serta bagi memastikan urusan pengiraan undi itu betul, adil dan telus. Penjumlahan Rasmi Undi Selepas selesai pengiraan undi di tempat-tempat mengundi dan pusat pengiraan undi iaini setelah semua keputusan Borang 14 (Penyata pengundian Selepas Pengiraan Undi dan Borang) dan Borang 15 (Penyata Pengundian Selepas Pengiraan Kertas Undi Pos) diterima dan diumumkan, beliau akan menjumlahkan keseluruhan keputusan untuk menentukan pemenangnya.Keputusan- keputusan pengundian akan dikemukakan kepada Pegawai Pengurus di pusat penjumlahan undi.



Video Proses Pilihan Raya

1 comment: